Sabtu, 18 September 2010

PEMBUANGAN BAYI

Jika kita perhatikan isu pembuangan bayi kini amat menjadi-jadi. Mereka yang tidak pernah kenal erti takot kepada pencipta sering melakukan perbuatan keji itu, mereka juga tidak mempunyai keperimanusiaan terhadap seorang bayi yang tidak berdosa itu..




FAKTOR PEMBUANGAN BAYI



1. Faktor utama yang sering diperkatakan dan ianya benar adalah kurangnya kefahaman agama di dalam diri seseorang.

Tidak dapat dinafikan bahawa kesedaran agama di kalangan anggota masyarakat hari ini begitu memberangsangkan, tetapi semangat itu tidak menyeluruh dan hanya tertumpu kepada golongan-golongan tertentu sahaja.

Tidak dapat dinafikan bahawa, apabila kurangnya didikan agama, maka rohani akan sakit, keinginan hidup bertuhan itu akan menjadi kosong.

Apabila perasaan bertuhan tidak ada lagi di dalam diri, maka nafsu dengan panduan syaitan akan mengambil tempat.

Maka, apa yang positif dipandang negatif, dan apa yang negatif dipandang positif boleh menjamin keseronokan…Walaupun kadang-kadang mereka mengetahui…


Sebagaimana Firman Allah Swt :

أَفَرَأَيْتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلَهَهُ هَوَاهُ وَأَضَلَّهُ اللَّهُ عَلَى عِلْمٍ وَخَتَمَ عَلَى سَمْعِهِ وَقَلْبِهِ وَجَعَلَ عَلَى بَصَرِهِ غِشَاوَةً فَمَنْ يَهْدِيهِ مِنْ بَعْدِ اللَّهِ أَفَلَا تَذَكَّرُونَ

Adakah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya, dan ia disesatkan oleh Allah kerana diketahuinya, dan dimeteraikan atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi petunjuk kepadanya sesudah Allah? Oleh itu, mengapa kamu tidak mahu beringat dan insaf?

Surah Al-Jathiyah ayat 23.



2. Faktor kedua adalah penyajian hiburan tanpa batas kepada masyarakat, di mana para remaja yang berdarah panas suka mencuba adalah merupakan anggota masyarakat ini.

Penayangan filem-filem yang berunsur lucah, penjualan cd-cd lucah, penyebaran gambar lucah di dalam internet tanpa kawalan menjadi pemangkin pada penzinaan.

Maka dari penzinaan tanpa segan silu ini, melahirkan anak-anak luar nikah yang dibuang merata-rata tempat, yang kadang kala mati menjadi habuan binatang-binatang liar…

Manusia sudah tidak lagi malu sesama manusia, yang lebih malang, manusia sudah tidak malu kepada Penciptanya.



3. Ibu bapa memainkan peranan yang penting di dalam pendidikan syakhsiah anak-anak.

Sikap ibu bapa yang terlampau percayakan anak-anak, mendorong anak-anak bertindak melampaui batas.

Sikap ibu bapa yang tidak mengendahkan kehidupan anak-anak menjadikan mereka merasakan bebas untuk membuat apa sahaja tanpa batasan.

Tidak dinafikan, bahawa individu yang paling dekat dengan seseorang anak adalah ibu bapanya.

Jika ibu bapa tidak mengendahkan mereka..siapa lagi?


4. Keruntuhan institusi keluarga juga antara faktor yang menyebabkan masalah sosial yang membawa pada pembuangan bayi ini.

Kehidupan pada era milenium hari ini, mengheret masyarakat menjadi leka untuk mengejar kebendaan dan pembangunan.

Sikap terlampau mengejar kebendaan yang tidak diimbangkan dengan nila-nilai murni kekeluargaan akan menatijah kepincangan.

Hasilnya, anak-anak kurang perhatian…Jika mereka mahukan duit, ibu bapa akan mendownload sahaja poket-poket mereka.

Akhirnya, anak-anak ini keluar bebas tanpa batasan…terpengaruh dengan kawan-kawan...seterusnya hubungan bebas….akhirnya penzinaan…..pembuangan bayi.


5. Sikap masyarakat, memandang keji kepada mereka yang terjebak di dalam gejala sosial juga, menyumbangkan kredit di dalam masalah ini.

Sesetengah individu masyarakat memandang kotor kepada mereka yang mempunyai masalah sosial.

Kesannya, mereka yang terjerumus ini akan membuat kesimpulan bahawa diri mereka tidak diterima oleh masyarakat.

Jadi timbullah perumpamaan " Alang-alang menyeluk perkasam, biarlah ke sampai pangkal lengan "

Maknanya, alang-alang orang tidak suka aku, sebab aku ini jahat…alang-alang jahat, biar jahat sungguh….

Alang-alang bergaul..biarlah bebas..akhirnya berlakulah apa yang kita lihat hari ini.


6. Punca lain pada fikiran saya, tidak kurang juga sumbangannya pada masalah ini, adalah pemikiran masyarakat Melayu terutamanya, yang menyusahkan perkahwinan.

Budaya Melayu yang mengutamakan kenduri yang mega, hantaran yang mesti lumayan dan lain-lain, menyebabkan masyarakat merasakan perkahwinan itu sesuatu yang menyusahkan.

Akhirnya, individu yang mungkin rasa begitu perlu untuk berkahwin, tidak dapat mengawal ghairahnya, mengambil jalan mudah dengan melakukan zina, akhirnya melahirkan anak luar nikah.


7. Keseriusan pihak kerajaan juga boleh kita persoalkan.Pihak kerajaan bertanggungjawab dalam menjaga keharmonian hidup masyarakat.

Di mana pihak kerajaan seharusnya memandang serius apakah faktor-faktor yang membawa pada pergaulan bebas di dalam masyarakat.

Bagaimana dengan penapisan hiburan-hiburan yang disajikan?

Bagaiman pembenterasan pusat-pusat hiburan yang menatijahkan hubungan bebas?

Adakah di sana digubal satu akta yang boleh menjaga pergaulan masyarakat?

Ini semua adalah merujuk pada mekanisme undang-undang di mana pihak kerajaan adalah yang memegang amanah ini.

Kita tidak dapat nafikan, bahawa ibu bapa adalah mereka yang penting dalam mengawal anak-anak mereka.

Tetapi, mungkin terbatas pengawasan mereka di dalam rumah dan persekitaran yang tertentu sahaja.

Maka di luar dari situ, maka pihak kerajaan lah yang memainkan peranan penting.




CADANGAN PENYELESAIAN


Ini merupakan beberapa cadangan penyelesaian berdasarkan faktor-faktor yang dinyatakankan di atas.Dan pada pendapat saya cadangan penyelesaian boleh kita libatkan beberapa pihak, iaitu :

1. Individu yang terbabit

2. Institusi keluarga terutamanya ibu bapa.

3. Pendakwah yang terdiri di kalangan ahli-ahli agama, termasuk badan-badan dakwah.

4. Pihak kerajaan.



Individu Yang Terbabit


Yang dimaksudkan di sini adalah individu yang terbabit di dalam masalah yang kita bicarakan ini.

Mereka ini harusnya mempunyai kesedaran, dan berusaha untuk memahami, dengan akal, fitrah serta hati naluri bahawa apa yang mereka lakukan, adalah amat bercanggah dengan kemurnian kehidupan insaniah.

Pergaulan bebas yang membawa pada hubungan tanpa batasan seterusnya membawa kepada penzinaan, lahirnya anak luar nikah akhirnya pembuangan bayi.Ini semua jauh dari naluri fitrah seorang manusia.

Kita menyeru kepada golongan ini, " Anda mempunyai akal yang waras, naluri, perasaan serta hati anugerah Allah Swt, maka fikirlah dengan apa yang anda lakukan.Kami semua tahu, anda semua adalah manusia yang mempunyai perasaan…."

Kita juga menyeru kepada mereka, selepas berfikir dengan hati naluri, agar kembalilah kepada cara hidup Islam yang sebenarnya.

Firman Allah Swt :

أَلَمْ يَأْنِ لِلَّذِينَ آَمَنُوا أَنْ تَخْشَعَ قُلُوبُهُمْ لِذِكْرِ اللَّهِ وَمَا نَزَلَ مِنَ الْحَقِّ وَلَا يَكُونُوا كَالَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ مِنْ قَبْلُ فَطَالَ عَلَيْهِمُ الْأَمَدُ فَقَسَتْ قُلُوبُهُمْ وَكَثِيرٌ مِنْهُمْ فَاسِقُونَ

Yang bermaksud :

Belum sampaikah lagi masanya bagi orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta kebenaran (Al-Qur'an) yang diturunkan? Dan janganlah pula mereka menjadi seperti orang yang telah diberikan Kitab sebelum mereka, setelah orang itu melalui masa yang lanjut maka hati mereka menjadi keras, dan banyak di antaranya orang yang fasik derhaka.

Surah Al-Hadid ayat 16


Islam tidak pernah menghalang kehidupan seseorang, tetapi islam hanya datang untuk menawarkan gaya kehidupan yang sihat seseuai dengan fitrah insaniah.



Institusi Kekeluargaan ( Terutama Ibu Bapa )


1. Ibu bapa adalah merupakan insan yang mempunyai hubungan darah dengan anak-anak..

Seharusnya ibu bapa menjadi insan yang paling rapat dengan anak-anak, terutama remaja di samping mengambil tahu pergerakan mereka setiap masa.

Dengan siapa mereka keluar, ke mana mereka keluar, apakah aktiviti-aktiviti yang mereka lakukan.

Sifat terlampau mempercayai anak-anak hingga membiarkan mereka sesuka hati boleh mengundang parah.

Pesan Nabi Saw :

كُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ الْإِمَامُ رَاعٍ وَمَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ وَالرَّجُلُ رَاعٍ فِي أَهْلِهِ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ وَالْمَرْأَةُ رَاعِيَةٌ فِي بَيْتِ زَوْجِهَا وَمَسْئُولَةٌ عَنْ رَعِيَّتِهَا وَالْخَادِمُ رَاعٍ فِي مَالِ سَيِّدِهِ وَمَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ فَكُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ.

Yang bermaksud :

Setiap daripada kamu adalah pengembala ( Pemelihara dan pembela ), dan setiap kamu adalah bertanggungjawan terhadap belaannya.Sesungguhnya imam ( pemimpin ) itu adalah pembela dan bertanggungjawab terhadap belaanya ( rakyat ), seorang lelaki itu pengembala kepada ahli keluarganya dan bertanggungjawab terhadap mereka, wanita juga pembela di rumah suaminya dan bertanggungjawab ( pembantu suami dalam urusan rumah tangga ) terhadap gembalaanya, dan khadam juga juga pengembala ( penjaga ) akan harta tuannya dan dia bertanggungjawab untuk itu.Maka sesungguhnya setiap kamu adalah pengembala ( penjaga) akan gembalaan ( jagaan ) kamu dan kamu semua bertanggungjawab untuk itu.

Riwayat Bukhori dan Muslim

Jadi hadith ini jelas, menunjukkan peranan ibu bapa yang bertanggung jawab dalam memelihara dan mengawasi anak-anak mereka.



2. Keduanya sifat ibu bapa yang mengabaikan tanggung jawab dan amanah yang sepatutnya.

Terlampau mengejar kebendaan dan kemajuan, sememangnya melalaikan ibu bapa untuk berperanan sebagai orang yang paling diperlukan oleh anak-anak.

Ibu bapa perlu sedar, bahawa sibuk macam mana sekali pun mereka, tanggungjawab terhadap anak-anak mestilah dilunaskan.

Tanggungjawab ibu bapa dalam mendidik dan mentarbiyyah syaksiah anak perlu diutamakan.

Jika tidak, anak-anak remaja ini akan terpengaruh dengan persekitaran yang menghidangkan cara hidup yang tidak terkawal.

Pesan Nabi Saw :

مَا مِنْ مَوْلُودٍ إِلَّا يُولَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ أَوْ يُنَصِّرَانِهِ أَوْ يُمَجِّسَانِهِ

Tidak lah seorang bayi yang dilahirkan itu, melainkan dia lahir dalam fitrah, maka kedua ibu bapanya lah yang bertanggungjawab untuk mengyahudikan dia atau menasranikan dia atau memajusikan dia.

Riwayat Bukhori dan Muslim.


Maka hadith ini menunjukkan peranan penting ibu bapa dalam membentuk syakhsiah dan cara kehidupan anak-anak mereka.

Jika tidak, maka anak-anak akan mengikut cara kehidupan yahudi, kristian serta golongan kafir yang tidak mengenal erti halal mahu pun haram.




Pendakwah Yang Terdiri Di Kalangan Ahli-ahli agama, Termasuk Badan-Badan Dakwah.


1. Para pendakwah merupakan di antara mereka yang diharapkan mampu membantu menyelesaikan masalah ini.

Di dalam satu sudut yang lain, para pendakwah dan ahli agama tidak akan sudah kerjanya jika hanya menghukum dan menyalahkan pihak-pihak yang dirasa salah sahaja.

Golongan ini seharusnya menjadi pemikir utama yang mencadangkan kaedah-kaedah penyelesaian bagi masalah ini.

Bukannya hanya menghukum, hinggakan masalah menjadi lebih teruk, para madu' menjadi semakin membenci kita seterusnya jauh.Tugas kita adalah memahami seterusnya cuba melakukan perubahan yang sepatutnya.

Selain dari itu, jika berkemampuan para pendakwah seharusnya berfikir bagaimana untuk mendekati golongan-golongan mereka yang bermasalah ini.

Sikap pendakwah yang ingin didekati sahaja, tetapi tidak mahu mendekati sewajarnya diubah..



2. Badan-badan dakwah samada di bawah kerajaan mahupun NGO yang penggeraknya adalah di kalangan ahli-ahli agama boleh menganjurkan program-program berbentuk kesedaran, motivasi dan tarbiyyah.

Boleh kita katakan sasarannya adalah para ibu bapa ( terutama yang mempunyai masalah kepincangan institusi keluarga ) dan golongan remaja yang bermasalah.

Selain dari itu, program berbentuk turun padang, berjumpa dengan sasaran dakwah juga mesti dilipat ganda.

Kadang kala, mereka ini malu untuk datang ke program-program yang dianjurkan.Maka program turun padang inilah menjadi alternatif untuk berjumpa dan mendekati mereka.

Maka setiap badan-badan atau pertubuhan dakwah, seharusnya memikirkan method yang lebih sesuai dari masa ke semasa untuk cuba menangani masalah ini yang semakin hari, semakin menuntut cara penyelesaian yang lebih mencabar.



Pihak Kerajaan

Pihak kerajaan, adalah pihak yang mempunyai kuasa untuk mencegah dan mengarah sesuatu perkara.

Ini kerana kerajaan merupakan pihak yang berhak menggubal undang-undang atau akta terhadap sesuatu permasalahan atau isu yang melanda.Di samping sokongan oleh kementerian tertentu dan juga agensi-agensi kerajaan yang dipimpin.

Dengan ruang lingkup kuasa dan medan yang ada, seharusnya kerajaan boleh melakukan sesuatu yang lebih serius dan berkesan untuk membenteras punca masalah sosial yang berlaku.

Pusat-pusat hiburan, kelab-kelab malam, pusat karaoke, pusat pelacuran, arak, rumah urut, pusat judi dan lain-lain.Ini merupakan punca-punca pada bercambahnya permasalahan sosial yang membawa pada pergaulan bebas, zina dan kelahiran anak luar nikah, seterusnya masalah yang kita alami hari ini.

Hiburan, konsert dan filem-filem…yang kini sudah menjadi budaya hedonisme yang telah menguasai saluran-saluran televisyen dan radio, yang kebanyakan menyebarkan budaya berbaur lucah, adalah merupakan satu lagi punca yang memangkinkan masalah sosial.

Jadi, pihak kerajaan melalui kuasa yang ada, melalui agensi-agensi serta kementerian yang dikuasai seharusnya memainkan peranan yang penting bagi mengawal punca-punca ini.




TAMBAHAN.

1. Kempen mengerjakan solat merupakan salah satu cara yang mesti dititik berat oleh semua pihak.

Samaada individu, ibu bapa , golongan agama mahu pun kerajaan.

Firman Allah Swt :

وَأَقِمِ الصَّلَاةَ إِنَّ الصَّلَاةَ تَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ وَلَذِكْرُ اللَّهِ أَكْبَرُ وَاللَّهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ

Yang bermaksud :

Dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.

Surah Al-Ankabut ayat 45


Ayat ini jelas bahawa solat merupaka formula rabbani untuk mencegah kemungkaran.

Perkataan الْفَحْشَاءِ di dalam ayat ini ditafsirkan oleh setengah mufassirin adalah zina.

Maka, jika seseorang itu mendirikan solat dengan segala tuntutan insyaAllah kemungkaran dan fahsya' itu dapat dicegah.

Namun, kempen mendirikan solat ini mestilah direalisasikan oleh semua pihak berdasarkan tanggungjawab masing-masing.

Individu iitu sendiri, mestilah mempunyai kesedaran untuk solat dengan mengerjakannya secara khusyuk.

Ibu bapa haruslah memainkan peranan yang penting di dalam mendidik anak untuk solat.

Tarbiyyah Rasulullah Saw yang menyuruh para ibu bapa untuk mengarahkan anak-anak agar menunaikan solat pada umur 7 tahun, dan memukulnya jika meninggalkan solat pada umur 10 tahun mestilah di hayati.

Para pendakwah bersama badan-badan dakwah mestilah saling bekerjasama dengan mengembeleng tenaga untuk mengadakan kempen solat.Bukan sahaja di masjid mahu pun surau, namum di semua tempat berdasarkan method-method yang sesuai.

Pihak kerajaan melalui kementerian, jabatan mahu pun yayasan yang bertanggung jawab dalam urusan agama, seharusnya menjadi penggerak utama sebagai pendokong kempen solat.

Firman Allah Swt :

الَّذِينَ إِنْ مَكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآَتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنْكَرِ وَلِلَّهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ

Yang bermaksud :

Iaitu mereka yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan perkara yang mungkar. Dan ingatlah bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.

Surah Al-Hajj ayat 41

Ayat ini jelas menunjukkan bahawa pihak kerajaan tidak boleh memandang enteng urusan solat para rakyat jelata.

Segala program-program yang boleh melalaikan masyarakat dari bersolat, sewajibnya dibenteras dan dihalang sama sekali.



2. Penyedian pusat kaunseling dan tarbiyyah khusus kepada golongan remaja bermasalah merupakan salah satu cara yang boleh mengurangkan permasalahan yang berlaku.

Ini dapat dijayakan melalui kerjasama yang mantap diantara badan-badan juga pertubuhan-pertubuhan dakwah.

Tidak dinafikan, bahawa usaha ini sebenarnya telah pun ada, namun perlu ditambah gandakan lagi kewujudan dan sokongan dari semua pihak, agar kejayaannya lebih zahir menyeluruh.




3. Kempen memudahkan perkahwinan…semua pihak terutamanya ahli agama mestilah memahamkan masyarakat akan fungsi perkahwinan itu sendiri.

Kehidupan hari ini yang menghadapi kepesatan teknologi maklumat tanpa sempadan, menyebabkan anak-anak muda begitu mudah untuk mendapat bahan-bahan yang memberahikan nafsu syahwat.

Apabila pegangan agama semakin nipis, nafsu semakin hari semakin memuncak, syaitan akan menguasai jiwa.

Maka, bermula dengan keluar bersama akhirnya dosa besar menjadi perkara biasa bagi mereka.

Apabila terlanjur, maka lahirlah anak luar nikah..Tidak mahu menerima malu, maka anak-anak yang tidak berdosa ini ditinggalkan dan dibunuh sesuka hati.

Maka, masyarakat harus diberi kesedaran dan kefahaman bahawa perkahwinan merupakan satu cara terbaik untuk menyelesaikan masalah ini.

Kesedaran untuk memudahkan perkahwinan itu, mestilah digarap ke dalam pemikiran masyarakat kita.

Pesan Nabi Saw :

يَا مَعْشَرَ الشَّبَابِ مَنْ اسْتَطَاعَ الْبَاءَةَ فَلْيَتَزَوَّجْ فَإِنَّهُ أَغَضُّ لِلْبَصَرِ وَأَحْصَنُ لِلْفَرْجِ وَمَنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَعَلَيْهِ بِالصَّوْمِ فَإِنَّهُ لَهُ وِجَاءٌ
Yang bermaksud :

Wahai golongan pemuda!Barangsiapa di antara kamu yang mempunyai kemampuan, maka berkahwinlah, maka sesungguhnya perkahwinan itu cara terbaik untuk penjagaan pandangan dan merupakan cara terbaik untuk menjaga kehormatan, dan barangsiapa yang tidak mampu, maka berpuasalah, sesungguhnya dengan berpuasa itu ada perlindungannya ( dari perbuatan maksiat ).

Riwayat Bukhori Muslim.



Untuk menarik perhatian golongan –golongan ini untuk kahwin, maka beberapa inisiatif mestilah di usahakan.

Seperti, kemudahan untuk mendapat kerja, kemudahan untuk mendapat rumah kos rendah, kursus, saguhati perkahwinan dan lain-lain.

Golongan agama, badan-badan dakwah serta pihak kerajaan sewajarnya memainkan peranan penting dalam usaha ini.


4. Paradigma masyarakat harusnya diubah dan dibetulkan.Pemikiran masyarakat yang suka menghukum golongan-golongan bermasalah, tanpa usul periksa bukannya menyelesaikan masalah, malah menambah lagi masalah.

Kita seharusnya menjadi tempat remaja meluahkan masalah mereka dan bukannya tempat remaja melarikan diri mereka.

Pandangan masyarakat yang berubah memberikan persepsi yang baik kepada remaja untuk berkongsi masalah mereka.


KESIMPULAN

Maka kesimpulannya, kita hendaklah sedar akan keruncingan masalah yang semakin hari semakin ketara dan merisaukan.

Tulisan ini hanyalah sebagai cadangan dan juga hasil kerisaun yang timbul daripada diri ini.

Namun sedarlah, walaupun berbagai-bagi kaedah dan cadangan penyelesaian yang diutarakan, tetapi jika tidak ada keseriusan dari semua pihak, masalah ini akan terus berlarutan.

Maka kita menyeru kepada semua pihak samaada individu, keluarga, golongan agama, badan-badan atau pertubuhan dakwah, masyarakat serta pihak kerajaan agar seriuslah dan tingkatkan lah kerjasama dalam usaha membendung isu ini.

Selagi usaha dan tindakan masih di takuk lama, percayalah isu ini tidak akan selesai, malah berbagai-bagai isu dan tragedi yang lebih menakutkan akan terjadi..


info dari alam siber..