Khamis, 10 Disember 2009

Anak Osama bin Laden Dilarang Masuk Britain

omar membuat rayuan memasuki britain pada 2008

LONDON - Rayuan Omar Laden, anak lelaki kepada pemimpin rangkaian al-Qaeda, Osama bin Laden untuk memasuki Britain ditolak oleh tribunal imigresen negara itu kelmarin.

Timbalan Presiden Tribunal Perlindungan dan Imigresen, Mark Ockelton berkata, perkahwinan mereka tidak boleh dianggap sah mengikut undang-undang England kerana pada masa sama mereka telah berkahwin dengan orang lain.

Omar, 28, sebelum ini membuat rayuan berhubung permohonannya untuk berpindah ke Britain yang ditolak pada April 2008 lalu.

Dia mahu berpindah ke Britain dengan seorang wanita Britain, Zaina Alsabah, 54 yang didakwa Omar dikahwininya pada 2007 di Arab Saudi.

Pada tahun lalu, pihak berkuasa Britain menyatakan punca Omar tidak dibenarkan memasuki negara itu ialah kerana dia masih menunjukkan kesetiaan pada bapanya.

Pihak berkuasa Britain turut menyatakan kehadirannya di negara itu akan mencetuskan kebimbangan di kalangan orang awam.

Omar, yang mendakwa tidak pernah menemui bapanya sejak tahun 2000, ialah anak keempat daripada 11 beradik menerusi isteri pertama Osama.

Isteri Omar itu yang dikenali sebagai Jane Felix-Brown sebelum memeluk agama Islam pernah berkahwin sebanyak lima kali.

Menurut tribunal itu, kesihatan isteri Omar itu berada pada tahap yang teruk dan dia menghidap penyakit sklerosis. - AFP

Sumber- kosmo

KOMIK TERBARU..

PERAK DARUL KARTUN..






KUALA LUMPUR, 10 Dis: Menteri Besar Pakatan Rakyat Perak Datuk Seri Ir. Muhammad Nizar Jamaluddin akan melancarkan komik "Perak Darul Kartun" (PDK) pada Ahad, 13 Disember ini, jam 4 petang.

Majlis pelancaran akan diadakan di Pusat Khidmat Rakyat Dun Bukit Antarabangsa yang beralamat di No 2, Lorong Perak, Pusat Bandar Taman Melawati, Hulu Kelang, Kuala Lumpur.

"Pelancaran akan dilakukan bersama oleh Adun Bukit Antarabangsa, Azmin Ali," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Perak Darul Kartun adalah komik terbaru hasil karya terbaru Zunar bersama pasukan kartunisnya yang terdiri dari Ronasina (Mohd. Affandi Ramli), Jonos (Nor Azlin Ngah), Art (Azhar Saad).Orang-orang (Azlan Isa) dan Naza (Nazruddin Abu Bakar).

Ianya sebagai penerbitan berterusan syarikatnya Sepakat Efektif selepas permit penerbitan Gedung Kartunnya mempunyai masalah dengan pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN).

PDK mempunyai ketebalan 80 muka surat tidak termasuk kulit muka (dengan penambahan 12 muka surat berbanding Gedung Kartun) dan dijual dengan harga RM10 setiap naskhah.

Turut menyumbang karya dalam komik tersebut adalah Haili, Oly, Roy, Enot, AJ, Warih, Kidol, Madsein, Kawe, Ubi Lepih, Nur, Fahmi dan Buzu.

Manakala penulis penyumbang/kolumnis ialah Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said, penulis, Hishamuddin Rais, Pyanhabib, Rahmat Haron, Pusparos dan Benludin.

Seperti juga Gedung Kartun, PDK menampilkan karya-karya kartun dan rencana yang mengkritik pedas kebobrokan, salah-guna kuasa, rasuah penguasa dengan sepuluh muka surat pertama ditumpukan kepada isu 'rampasan kuasa' di Perak oleh kerajaan BN.

Selain itu ianya juga memuatkan ruangan khas watak pemimpin negara bernama “Datuk Nazak”, slot “Negaraku” dan tiga muka surat karya Enot bertajuk “Nostalgia 98” yang mengimbas kembali sejarah ketika gelombang reformasi tercetus.

Ruangan “Selangor Tanahairku” diteruskan untuk memberi publisiti tentang dasar-dasar kerajaan Pakatan Rakyat dengan pelbagai program kebajikan yang telah dijalankan.

sumber- Harakahdaily

Dr Asri Bantah JAIS Bawa Kes Ke Shah Alam

Bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin - yang menghadapi tuduhan mengajar agama Islam tanpa tauliah - mengemukakan bantahan awal terhadap permohonan semakan oleh pihak pendakwaan berhubung keputusan Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur yang menolak untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam.

Mohd Asri, 38, memfailkan bantahan awal itu hari ini melalui peguamnya Kamar Ainiah Kamaruszaman, dengan alasan antaranya, pertuduhan terhadapnya bukan satu kesalahan terhadap rukun-rukun agama Islam, justeru beliau tidak boleh didakwa di mahkamah syariah kerana ia bertentangan dengan Seksyen 61 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.

Beliau berkata pertuduhan terhadapnya yang dibuat mengikut Seksyen 119 (1) enakmen pentadbiran itu bercanggah dengan prinsip Islam dan, dengan demikian, peruntukan itu tidak konsisten dengan hukum syarak serta hendaklah terbatal.

Dalam notis bantahan awalnya, Mohd Asri juga mendakwa peruntukan Seksyen 119 (1) itu melampaui kuasa Perlembagaan Persekutuan khususnya Artikel 10 (1)(a) yang menjamin setiap warga negara berhak bebas bercakap dan mengeluarkan fikiran.

Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Mohammad Adib Husain, menetapkan 6 Jan tahun depan untuk mendengar hujahan kedua-dua pihak berhubung bantahan awal itu.

Pada 18 Nov lepas, Mohd Asri (foto, kanan) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, terhadap pertuduhan mengajar agama Islam tanpa tauliah yang didakwa dilakukan di sebuah kediaman di Lorong 2 C, Taman Sri Ukay, Ampang, antara 8.10 malam dan 9.45 malam 1 Nov lepas.

Bagi kesalahan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 119 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003 yang membawa hukuman denda sehingga RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pihak pendakwaan yang diketuai ketua pendakwa syarie Selangor, Abdul Shukor Abdul Hamid mengemukakan permohonan agar kes itu dibawa ke Mahkamah Tinggi Shah Alam dengan alasan segala fakta dalam kes itu melibatkan pemakaian dan tafsiran yang lebih tepat dan berpengalaman mengikut undang-undang, selain mendapat liputan media massa, dan juga tertuduh mempunyai pengaruh besar dalam kalangan masyarakat luar.

Hakim syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad bagaimanapun menolak permohonan itu dengan alasan bahawa permohonan itu hanya dibenarkan jika pihak pendakwaan mengemukakan alasan yang munasabah dan lebih tepat serta mungkin menyebabkan berlaku prejudis kepada tertuduh dan subjudis kepada mahkamah.

Pihak pendakwaan yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu kemudian memfailkan permohonan semakan di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam. MALAYSIAKIN..

Persoalannya disini adakah seorang bekas mufti menjadi pengajar yang tidak bertauliah..??